Kami ke Chandni Chowk menggunakan perkhidmatan ERL METRO (Chandni Chowk Metro Station). Chandni Chowk adalah sebuah kawasan pusat borong yang terletak di Old Delhi dan telah wujud sejak lebih 300 tahun lalu iaitu pada tahun 1650. Jalan Chandni Chowk ni bermula dari Red Fort dan berakhir di Fatehpuri Masjid. Kawasan sekitar yang terkenal di sini adalah Jama Masjid iaitu masjid yang terbesar di India dan di bina pada zaman kerajaan Mughal 300 tahun yang lalu.

Jalan Chandni Chowk (Old Delhi) Chandni Chowk

Kami menyusuri jalan Chandni Chowk sehingga bertemu dengan Masjid Fatehpuri. Masjid bersejarah ini dibina pada tahun 1650 oleh Fatehpuri Begum, salah seorang daripada isteri-isteri Shah Jahan pada zaman kerajaan Mughal. Setelah kejatuhan kerajaan Mughal kepada British, masjid ini pernah menjadi tempat stor bagi penyimpanan barang oleh saudagar hindu pada 1857. Selepas 1877, masjid ini dikembalikan kepada masyarakat muslim oleh British.

Kawasan dalam Masjid Fatehpuri Kawasan dalam Masjid Fatehpuri

Di sebelah luar pintu masuk ke Masjid Fatehpuri, terdapat sebuah restoran muslim yang terkenal dengan masakan puri di Old Delhi – Restoran Chaina Ram. Kami sempat merasa puri yang terdapat di sini… dan rasanya memang sedap… restoran ini juga terkenal dengan manisan seperti jelebi, laddu dan lain-lain…

   

Selepas pekena puri di Chaina Ram, kami berjalan menyusuri jalan Chandni Chowk yang sesak menuju ke Jama Masjid…