Kepulauan Riau

Catatan perjalanan kali ini adalah berkisar pada Jun 2011 berkenaan lawatan saya dan seorang teman ke Kepulauan Riau, Indonesia. Kami berdua masuk ke Indonesia melalui HarbourFront di Singapura menuju ke Pulau Batam, seterusnya ke Pulau Bintan dan Pulau Penyengat menggunakan feri. Kepulauan Riau (Kepri) adalah sebuah provinsi di Sumatera yang terdiri daripada gugusan pulau-pulau kecil yang mengikut sejarahnya adalah tinggalan dari Kerajaan Melayu Johor Riau puluhan tahun lalu.

Kepulauan Riau memiliki keluasan wilayah 252.601 km2 dan terdiri dari 4 daerah (kabupaten) dan 2 kota iaitu kota Tanjung Pinang, Kota Batam, Bintan, Karimun, Natuna, Lingga  dan Anambas. Provinsi Kepulauan Riau memiliki 2.408 pulau dan sekitar 30% di antaranya belum memiliki nama dan tidak diduduki. Kepri memiliki 10 bahasa yang di jadikan alat komunikasi dan dihuni oleh 17 suku. Bahasa Melayu Riau mempunyai sejarah yang cukup panjang, di mana pada dasarnya Bahasa Indonesia juga berasal dari bahasa Melayu yang telah wujud semenjak zaman Kerajaan Sriwijaya dan Melaka.

propinsi-kepri

HarbourFront Singapore

Dari HarbourFront Singapore… banyak travel agency yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan feri ke Kepulauan Riau seperti Batam Fast dan Penguin. Kami memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan feri Penguin yang mana harganya adalah lebih murah dan banyak catatan di internet yang mengesyorkan menggunakan perkhidmatan Penguin. Harga tiket feri ke Batam Centre termasuk cukai adalah sebanyak SGD22.00 (tiket SGD16.00 + sea port tax SGD6.00) sahaja. Semasa membeli tiket di kaunter, kita perlu menyerahkan passport untuk urusan pengisian borang masuk (boarding pass) ke Indonesia.

harbourfront-ferry-penguin
Jeti HarbourFront Singapore

harbourfront-singapore
HarbourFront Singapore

penguin-feri-singapore
Dalam Feri Penguin

Pelabuhan Batam Centre

Perjalanan ke Batam melalui Harbor Front Singapore mempunyai banyak pilihan iaitu samada ke Batam Centre, Kupang, Waterfront atau Harbour Bay. Kami memilih Batam Centre kerana perancangan kami adalah untuk terus ke Pulau Bintan melalui Jeti Telaga Punggur yang jaraknya sekitar 15km dari Batam Centre. Perjalanan menggunakan feri adalah selama 45 minit sahaja melalui pulau-pulau kecil serta melintasi  kapal-kapal perdagangan serata dunia. Sampai sahaja ke Jeti, selepas pemeriksaan imigresen, kami berjalan-jalan sebentar ke Megamall Batam Centre dan kedai-kedai yang terdapat di pelabuhan Batam Centre ini.

batam-centre
Kawasan Pelabuhan Batam Centre

batam-centre-megamall
Megamall Batam Centre

Jeti Telaga Punggur

Seterusnya, kami menaiki teksi ke Telaga Punggur (penduduk tempatan memanggil ‘Punggur’ sahaja) dengan tambang IDR70,000.00 sahaja (sebuah teksi). Sampai sahaja ke Jeti Punggur, kami membeli tiket feri (pergi balik) melalui perkhidmatan Feri Baruna dengan harga IDR65,000.00 sahaja (open ticket… valid for 1 month)… dan sebelum memasuki kawasan berlepas, perlu membeli pas dengan harga IDR7,000.00 lagi. Perjalanan ke Jeti Tanjung Pinang menggunakan feri adalah selama 45 minit sahaja.

Terminal_Ferry_Telaga_Punggur,_Batam
Pelabuhan Telaga Punggur Batam

Terminal_Ferry_Telaga_Punggur,_Batam
Jeti Pelabuhan Telaga Punggur

TANJUNG PINANG

Tanjung Pinang memiliki keistimewaan tersendiri kerana kaitannya dengan Kerajaan Kesultanan Melayu Riau pada suatu masa dahulu. Budaya dan etnik di sini didominasi oleh keturunan etnik Melayu, Tionghoa, Bugis dan Jawa. Bahasa daerah yang digunakan adalah bahasa Melayu yang boleh dianggap unik serta memiliki daya tarikan yang tersendiri kerana digunakan di bumi Indonesia.

Pelabuhan Tanjung Pinang terletak di Kota Tanjung Pinang dan daripada jeti, telah kelihatan Pulau Penyengat yang akan kami jelajahi tidak lama lagi. Setelah seharian perjalanan, kami agak keletihan…  dan keperluan utama buat masa ini adalah untuk mencari tempat penginapan untuk berehat dan mandi.

pelabuhan-tanjung-pinang
Pelabuhan Tanjung Pinang Bintan

tanjung-pinang
Kota Tanjung Pinang

Keluar sahaja daripada kawasan jeti, dalam keadaan hujan rintik-rintik kami ternampak sebuah hotel di sebelah kiri jalan… hotel Gunung Bintan. Oleh kerana badan pun memang dah penat… tanpa membuang masa, kami pun bertanyakan harga (tarif). Di hotel ini… harga untuk warga Indonesia dan warga asing adalah berlainan… sebagai contoh… harga untuk standard room untuk warga tempatan adalah IDR110,000.00 (lebih kurang RM38.00) manakala untuk warga asing adalah IDR159,000.00. Kami tak jadi check in di hotel ini… dan seterusnya kami pergi pula ke Furia Hotel yang terletak di seberang jalan sahaja… tetapi informasinya adalah sama dengan hotel yang pertama tadi, iaitu tarif bagi warga tempatan dan warga asing adalah berbeza… dan harganya juga agak mahal (kalau tak silap… IDR250,000.00… tetapi ada disediakan breakfast dan Wifi percuma).

hotel-gunung-bintan
Hotel Gunung Bintan

hotel-furia-tanjung-pinang
Hotel Furia

hotel-wisata-tanjung-pinang
Hotel Wisata

Seterusnya, kami menuju ke Hotel Wisata (bersebelahan dengan Bintan Indah Mall)… dimana harga untuk standard room adalah IDR110,000.00 (lebih kurang RM38.00 sebilik. So, kalau bagi dua… RM19.00 seorang… Ok la..) tanpa mengira samada warga Indonesia ataupun warga asing. Kami serahkan passport untuk pendaftaran dan check in hotel. Lokasi hotel ini adalah di sebuah lorong kedai-kedai menjual pakaian… dan keadaan dalam hotel ini agak kurang selesa… gelap (tingkap menghadap ke tembok bangunan sebelah) dan agak uzur. Oleh kerana kami memang dah keletihan… ok la… mandi, lepas tu tidur sampai lewat petang… bangun je… perut dah lapar.

makan-melayu-square
Warung Pak Buyung

siput-gonggong
Siput Gonggong

Mandi lebih kurang… capai tshirt dan selipar jepun… terus keluar menyusuri jalan-jalan kecil di kota Tanjung Pinang… sehingga akhirnya kami sampai ke kawasan tepian laut. Pemandangan sore di kawasan tepi laut ni memang ‘spectacular’… laut tenang… pulau-pulau kecil bertaburan di bawah bayang-bayang ‘sunset‘… di kejauhan nampak masjid Sultan Riau di Pulau Penyengat tersergam indah dengan warna kekuningan… memang relaks. Menyusuri jalan-jalan tepi laut ni membawa kami ke Melayu Square. Melayu Square ni adalah sebuah kawasan tempat makan (khususnya makanan laut) yang ada pentas untuk persembahan di sebelah hujungnya. Tempat ini ramai dikunjungi oleh warga tempatan bersama keluarga yang ingin merasa makanan laut. Kalau nak rasa siput gonggong… datang la sini (tempat lain susah nak cari…). Harga makanan di sini… tak la murah sangat (jika nak dibandingkan dengan di Bandung atau Malang di Pulau Jawa…) dan harganya lebih kurang sama je dengan di Malaysia.

pisang-keju
Pisang Goreng Keju

Selepas makan di Melayu Square, kami kembali menyusuri jalan-jalan kawasan tepi laut. Kawasan ini ramai dikunjungi oleh warga muda Tanjung Pinang di sebelah malam… lepak-lepak sambil makan-makan. Di sini, ramai penjaja kecil yang menjual “street food” seperti satay padang, siomay, bakso, jagung bakar, pisang keju dan sebagainya… Kami pun lepak sama di tepi laut ni sambil merasa pisang goreng keju bersama teh O… sambil memerhatikan gelagat remaja Tanjung Pinang… dihibur pula oleh penyanyi jalanan yang menyanyi sambil bermain gitar… asyiiikk dehhh…

tepi-laut-tanjung-pinang
Street Food

tepi-laut-tanjung-pinang
Penghibur Jalanan

Keesokan paginya, kami menyusuri jalan-jalan di kawasan jalan pasar… sambil mencari kedai untuk sarapan pagi. Kawasan pasar di Tanjung Pinang ni adalah di kawasan rumah air…dan berada di tepi laut… Kebanyakan kedai makan (rumah makan) yang berada di sini adalah kedai cina (biasanya menjual air…) manakala ada penjual makanan muslim yang menjual makanan halal seperti lontong, soto dan sebagainya… Keadaan sebegini mengingatkan saya pada bandar Batu Pahat di Johor pada suatu ketika dahulu… dimana pekedai cina dan melayu berkongsi menjual makanan dan minuman… dan pelanggannya terdiri daripada penduduk melayu dan cina… makan bersama-sama…

Semasa kami berjalan-jalan menyusuri kota Tanjung Pinang… sampai ke kawasan Masjid Besar Tanjung Pinang, kami ternampak sebuah hotel… betul-betul berada di hadapan Masjid Raya Tanjung Pinang. Hotel JOJO… menarik lokasi hotel ni… kami terus bertanya bilik kosong… kebetulan memang ada bilik kosong dengan harga IDR140,000.00 (lebih kurang RM50.00 je sebilik). Tanpa membuang masa… kami terus bayar dan check in. Keadaan bilik hotel ni memang ok la… ada tv… ada AC… ada tingkap menghadap jalan…(jika nak dibandingkan dengan Hotel Wisata tadi…) dan lokasinya memang menarik (berdekatan dengan masjid dan kedai makan). Semasa check-out, kami baru perasan… bahawa hotel ini juga ada menyediakan perkhidmatan menghantar pelanggan ke Jeti Tanjung Pinang… Saya secara personal memang mengesyorkan hotel JOJO ini untuk sesiapa yang berkunjung ke Tanjung pinang…

Masjid Raya Tg Pinang ni tak banyak bezanya dengan masjid di Malaysia. Keadaannya bersih dan ramai jemaah yang hadir pada setiap masuk waktu untuk bersembahyang jemaah. Oleh kerana hotel kami berdekatan sahaja dengan masjid ini… waktu subuh pun kami berjemaah di masjid dengan jemaah keseluruhan hampir mencecah 80 orang.

masjid-raya-tanjung-pinang
Masjid Raya Tg Pinang

hotel-jojo-tanjung-pinang
Hotel JOJO

PULAU PENYENGAT

Pulau Penyengat ni jaraknya hanyalah lebih kurang 6km sahaja daripada Jeti Tanjung Pinang. Pengangkutan utama untuk ke pulau ini adalah menggunakan perahu ataupun “pong-pong” mengikut panggilan penduduk setempat, dan hanya mengambil masa hanya kira-kira 10 minit sahaja. Jeti untuk ke Pulau Penyengat ni menggunakan jeti yang berlainan (bersebelahan sahaja) yang digunakan oleh feri ke Kepulauan Riau lain. Tambang menggunakan “pong-pong” hanya sebanyak IDR5,000.00 sahaja (sekitar RM1.60) sehala.

jeti-tanjung-pinang
Jeti Tanjung Pinang

pong-pong
Perahu “pong-pong”

Menurut cerita, nama “Penyengat” yang diberikan kepada pulau ini adalah sempena mengambil satu peristiwa… dimana pernah suatu ketika para pelaut yang sedang mengambil air bersih di tempat ini telah diserang oleh lebah yang dipanggil ‘penyengat”. Sejak peristiwa itu, pulau ini dipanggil “Pulau Penyengat”. Dari segi sejarah pula, pulau ini pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Riau Lingga dan lebih dikenali sebagai “Pulau Penyengat Indera Sakti” suatu ketika dahulu.

Mengikut catatan sejarah yang ada, kerajaan Melayu Riau Lingga diperintah oleh beberapa orang raja yang terkenal diantaranya adalah Opu Daeng Celak yang memerintah pada tahun 1728 – 1745, Raja Haji yang memerintah pada 1777 – 1784, Raja Jaafar yang memerintah pada 1806 – 1832 dan Raja Abdullah yang memerintah pada 1857 – 1858. Sultan Riau Lingga yang terakhir adalah Sultan Abdul Rahman apabila beliau serta keluarga Diraja berpindah ke Singapura pada 1911 mencari perlindungan daripada ancaman penjajah Belanda. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1913, Penjajah Belanda membubarkan kerajaan Riau Lingga bagi menghalang Sultan dan keluarga diraja yang lain daripada balik ke Riau dan menuntut kembali tahta kerajaan Riau Lingga.

Pulau Penyengat
Pulau Penyengat

Di antara tinggalan sejarah kerajaan Melayu Riau Lingga yang masih ada sehingga kini adalah Masjid Raya Sultan Riau. Masjid yang berwarna kuning ini dibina pada  tahun 1832  atas arahan Yang Dipertuan Muda VII, Raja Abdul Rahman. Mengikut ceritanya, perkara yang paling menarik tentang masjid ini adalah…  bahan pembinaan bangunan masjid ini antara lainnya adalah menggunakan campuran putih telur dan kapur bagi memperkukuh struktur kubah dan dinding masjid ini.

Tempat bersejarah lain yang sempat kami kunjungi adalah Kubu Bukit Kursi. Kubu yang dibina pada zaman kerajaan Melayu Riau sekitar tahun 1782 sehingga 1784 ini merupakan tempat pertahanan yang strategik… kerana terletak di atas bukit dan menghadap laut lepas. Kubu yang dibina pada zaman pemerintahan Raja Haji Fisabilillah ini dilengkapi dengan berpuluh-puluh meriam yang di pasang di setiap sudut bukit (… kini hanya ada beberapa buah meriam sahaja yang tinggal).

Masjid Raya Sultan Riau
Masjid Raya Sultan Riau

Sepanjang jalan kami menjelajah pulau ini… semasa berhenti minum di sebuah warung… sempat juga kami berbual-bual dengan penduduk tempatan di sini. Pada mula kami membuka bicara… biasanya di Indonesia ni… kami menyapa dalam loghat Indonesia. Tetapi apa yang menarik adalah… mereka membalas dan berbual dalam loghat melayu Johor… Pak Sidek (penjaga istana lama) bercerita… bahawa semua penduduk di Pulau ni berbangsa Melayu dan mengamalkan cara hidup termasuk percakapan, masakan dan adat perkahwinan sama seperti masyarakat melayu di Malaysia.  Patut la kami perhatikan… ramai warga lelakinya di sini memakai baju melayu lengkap dengan sampin dan songkok semasa bersembahyang jumaat tadi.  Beliau menambah… di sini terdapat juga Balai Adat yang (seumpama Dewan Masyarakat)… dimana jika ada sesiapa yang ingin menganjurkan majlis perkahwinan… beliau boleh menggunakan Balai Adat ini yang memang telah tersedia segala peralatan pelamin dan tempat berkumpul…. tetapi perlu dahulu mendapat izin daripada Pak Lurah.

Balai Adat Melayu Riau
Balai Adat Melayu Riau

Balai Adat Melayu Riau
Balai Adat Melayu Indera Perkasa

Kak Ram (pemilik warung) menambah bahawa satu lagi penempatan Melayu adalah di daerah Daik,  Pulau Lingga… keluarga ibu bapa beliau sendiri berada di Daik dan mereka sering berulang alik ke Daik menggunakan feri (perjalanan selama 2 jam dengan tambang IDR150,000 sehala). Kami sempat berjenaka bahawa kami akan ke Daik selepas ini untuk mendaki Gunung Daik yang terkenal dengan cabang tiga (dalam pantun melayu… Pulau pandan jauh ke tengah… Gunung Daik bercabang tiga…) tetapi beliau dengan agak serius menyatakan bahawa Gunung Daik tu adalah penempatan orang bunian… belum ada lagi orang yang berjaya mendaki ketiga-tiga cabang Gunung Daik tersebut… tetapi ramai pulak yang hilang disembunyikan oleh orang bunian… macam cerita dalam majalah Mastika la pulak… mistik sungguh…

Warung Kak Ram
Warung Kak Ram

Warung Apuy Ikan Bakar
Warung Apuy Ikan Bakar

Selepas solat jumaat… kami ke warung Apuy… makan ikan bakar (ikan belang) dan pari masak asam pedas. Rasa dia… perrgh…  sebijik macam makan kat melaka. Sebelum balik ke Tanjung Pinang, sempat juga kami ronda-ronda sambil melawat beberapa tempat bersejarah lagi seperti Gudang Mesiu (tempat simpanan peluru), istana lama, perigi puteri dan juga kubur-kubur lama kesultanan Riau.

Gedung Mesiu
Gedung Mesiu

Istana Lama
Istana Lama

Perigi Puteri
Perigi Puteri

Becak Speda Motor
Becak Speda Motor

PULAU BATAM

Setelah dua hari di Tanjung Pinang, kami kembali ke Pulau Batam. Beberapa hari lepas, kami hanya singgah di Batam Centre dan Telaga Punggur untuk ke Tg Pinang dan Pulau Penyengat. Perancangan kami seterusnya adalah untuk ke pusat kota Batam (penduduk setempat memanggil pusat kota Batam ni dengan nama Nagoya… mengambil sempena nama shopping complex yang terdapat di situ). Dari Pelabuhan Tanjung Pinang, kami menaiki feri Baruna menggunakan tiket yang telah kami beli tempohari. Sampai sahaja di pelabuhan Telaga Punggur, kami terus dapatkan teksi untuk ke Nagoya dengan tambang sebanyak IDR75,000.00. Mengikut pemerhatian kami, kota Batam ni… memang pesat membangun… (lebih kurang bandar Seremban di Malaysia). Mungkin kerana lokasinya yang bersempadan dengan Singapura… dan mungkin juga kerana banyak pelabur-pelabur daripada Singapura yang melabur di sini.

Kota Batam - Bandar lama
Kota Batam – Bandar lama

Nagoya Hill Batam
Nagoya Hill Batam

Kota Batam
Kota Batam

Hotel Instar Batam
Hotel Instar Batam

Life Style di Batam ni memang jauh berbeza dengan di Tanjung Pinang. Mengikut kata pemandu teksi (semasa dalam teksi)… penduduk kota Batam sekarang ini bukanlah penduduk asal Pulau Batam, tetapi pendatang daripada pelbagai daerah di Indonesia seperti Pekan Baru, Padang, Jambi… malah daripada pulau Jawa pun ramai. Kota Batam ramai dikunjungi pelancong luar terutamanya daripada Singapura dan Malaysia ataupun pelancong asing yang datang ke Singapura… kemudian bercuti pula ke Batam.

Nagoya Hill Shopping Complex sebagai contoh… adalah pusat membeli belah bebas cukai yang menjual pelbagai jenis barangan daripada pakaian, jam tangan, beg tangan wanita sehingga kepada kamera dan komputer.

Hotel memang banyak di sini… daripada hotel 4 bintang sehingga hotel takde bintang… kami check in di Hotel Instar dengan harga IDR140,000.00 sahaja semalam. Lepak-lepak kat Nagoya Hill… shopping… makan nasi padang… makan belut penyet. Malamnya makan sate padang… apam balik keju kat Street Food area…

Street Food Area
Street Food Area

Street Food Area
Street Food Area

Tiket Feri Batam - Stulang Laut
Tiket Feri Batam – Stulang Laut

Pelabuhan Stulang Laut
Pelabuhan Stulang Laut

Esok harinya… kami bergerak balik ke Malaysia. Daripada kawasan Nagoya, kami menaiki teksi dengan tambang IDR50,000.00 ke Pelabuhan Batam Centre. Seterusnya kami membeli tiket feri ke Stulang Laut Johor dengan harga IDR240,000.00 (lebih kurang RM80.00). Perjalanan dengan feri mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit sahaja. Sampai sahaja di Stulang Laut, kami menaiki teksi ke Stesen Bas Larkin dengan tambang RM15.00 dan seterusnya ke KL dengan menaiki Bas dengan tambang RM31.00.

Advertisements

20 thoughts on “Kepulauan Riau

  1. ana

    tolong diperjelas lagi asal-usul bahasa melayu!
    apabila bahasa indonesia berasal dari bahasa melayu, secara logika, seharusnya istilah dan diksinya harus sama, tetapi pada kenyataannya banyak sekali perbedaan…ko bisa ya?

  2. abe

    Hi ana.
    Asal usul bahasa melayu dan indonesia adalah berasal dari sumber yang sama iaitu bahasa yang dipertuturkan di jajahan johor-pahang-riau-lingga. Kongres pemuda indonesia pada 28 oktober 1928 menetapkan untuk mengambil dialek ini sebagai bahasa rasmi indonesia. Bahan bertulis utama yang dijadikan panduan dan rujukan ialah kitab Raja Ali Haji iaitu seorang ulama, ahli sejarah serta pujangga. Kitab2beliau yg dijadikan rujukan ialah kitab pedoman bahasa yang merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara

    Perbedaan yg timbul mungkin kerana setiap bahasa berevolusi. mungkin bahsa indonesia berevolusi bila ada pertembungan dengan dialek2 yang pelbagai di indonesia. seperti yang sedia maklum indonesia mempunyai beratus2 suku. bahasa indonesia menerima sedikit sebanyak istilah belanda manakala bahasa melayu malaysia menerima pengaruh inggeris.

    1. Salam hanim,
      Biasanya… perbelanjaan berdua atau bertiga adalah lebih jimat jika dibandingkan dengan solo traveler… kerana hotel dan teksi boleh dikongsi. Perjalanan saya berdua bersama rakan tempohari hanya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM600.00 sahaja (seorang). Perbelanjaan tambang feri adalah yang terbanyak… manakala makan dan hotel memang jimat kerana kami menggunakan hotel bajet dan makan di warung sahaja…

  3. abdhamidalilinggi

    salam , saya tertarik ngan cerita tuan, kalau saya hendak ke pulau penyegat dari johor boleh ke? selain bot ke sana ada tak pengankutan lain ?mcm mana saya le hubungi tuan?

    1. Salam tuan,

      Kalau dari Johor… tuan boleh bertolak melalui Pelabuhan Stulang Laut menaiki feri ke Pelabuhan Batam Centre di Pulau Batam (2 jam)… Daripada situ… naik teksi ke Pelabuhan Telaga Punggur (30 minit)… Kemudian naik feri menuju ke Pelabuhan Tanjung Pinang di Pulau Bintan (1 jam 30 minit).

      Pulau Penyengat berada berdekatan dengan Tanjung Pinang. Tuan boleh menaiki bot kecil daripada Jeti Penumpang di Tanjung Pinang menuju ke Jeti Pulau Penyengat (15 minit). Di Pulau Penyengat tiada kemudahan hotel… jadi lebih mudah jika tuan menginap di Tanjung Pinang. Saya cadangkan tuan menginap di Hotel Jojo terletak bersebelahan dengan Masjid Raya Tanjung Pinang.

      Di Pulau Penyengat… semua penduduknya berketurunan Melayu dan bertutur loghat melayu (macam kita)…. so… selamat berjalan-jalan….

      hilmynawawi@yahoo.com

      1. habibatullah

        Baru-baru ini pada bulan Disember saya ke Bintan dan menginap di tengah-tengah kawasan pasar iaitu Hotel tanjungpinang. bayaran RM60 semalam dan sarapan pagi untuk dua orang pada setiap pagi. Senang bergerak sebab berhampiran dengan zon membeli belah.

        Untuk kawasan bersejarah sila ke Kota Piring selepas KM10.
        Kalau mahu tidur di Pulau Penyengat, sila berhubung untuk sewa di rumah sewa Tuan Imam masjid, jika tidak tidur saja di wakaf yang disediakan di Masjid Raya sebab tok imam kata boleh tidue situ jika terdesak atau low bajet katakan.
        pada hari itu, saya membawa khemah dan sleeping bag tetapi sebenarnya tak perlu sebab Pulau penyengat dan Kepri jeti hanya 15 minit dan kepompong boleh sampai malam tetapi dinasihatkan bincang dengan tuanpunya bot dahulu. Saya recommend En. Ramli sebab dia tinggal di Kg Bugis di Pulau Penyengat dan dia pulang pada waktu Maghrib. Boleh juga booking untuk ke Pulau Bayan dan lain-lain pulau yang berhampiran.
        Boleh juga berhubung dengan pihak kami di habibatullah dot com.

        Kami tour organiser untuk sektor Kepulauan Riau jika ada yang berminat.
        Diharap info yang diberi berguna buat yang memerlukan.

        Sekian, terima kasih.

        Kak Wan/En Halim

  4. nordin mddan

    Salam…..amat menarik ceritA Dan pengalaman….saya ingin sangat ke tg pinang Dan terus ke pulau penyEngat tu……..macamana ya…….

    1. Salam,
      Tak susah untuk ke sana… Semuanya telah saya ceritakan dalam blog ini. Secara umumnya… lebih mudah menggunakan ferry samada melalui Pelabuhan Stulang Laut JB atau Singapore. Selamat berjalan-jalan…

  5. tak cube pergi ke hawker centre Akau Potong Lembu kah? Kat sana lagi seronok, suasana macam Jalan Alor KL tapi lebih lapang 🙂 Rasanya hendak balik lagi melancong ke Tg Pinang sebab saya suka budaya Melayu

      1. Micky Husin

        Naik van awam (angkot) dari terminal/hentian awam di pasar di pusat bandar Tg Pinang. Atau dari tepi jalan mana2 pun boleh. Tanya kepada pemandu van, samada melalui Akau Potong Lembu atau tidak. Kalau iya, naik saja dan bilang mau turun di Akau. Dulu tambang 3000 rupiah sehala (jauh ataupun dekat), sekarang tak tahu, mgkin dah naik jd 4000. Nanti angkot itu berhenti di muka lorong. Jalan kaki masuk lorong, tak jauh. Pusat penjaja ini buka sejak petang hingga larut malam. Tengahari ia medan tempat meletak kereta.

  6. Bila baca penulisan nie berulang kali… saya jadi
    hormat dengan pendirian awak… tak keterlaluan saya kata, walaupun banyak blogger kita dah semakin
    kurang sopan.. tapi awak tetap dengan pendirian awak yg sederhana..

    dari peminat blog awak 😉

  7. Amsyahril

    Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Sebuah serikat yang punya legalitas di Indonesia, memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan sekali seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour, Bali Muslim Tour dan sewa kenderaan.

    Contact person : Amsyahril
    Mobile : +6285263007445
    E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.

    1. Micky Husin

      dari Johor Bahru naik ferry ke Batam atau Bintan. Dari situ naik kapal terbang Wings Air atau Sky Aviation ke Ranai di Pulau Natuna.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s