Bukit Tochal diliputi Salji

Bukit Tochal diliputi Salji

Salah satu tujuan saya menjelajah bumi Iran pada musim sejuk adalah untuk merasai pengalaman turunnya salji.  Di Tehran, ada beberapa tempat yang sentiasa terdapat salji sepanjang tahun iaitu samada di Bukit Tochal Ski Resort, Dizin Ski Resort, Damavand Ski resort atau beberapa lagi tempat lain.  Maklumat berkaitan Tehran Ski Resort boleh diperolehi pada website http://iranskitours.ir/. Bukit Tochal Telecabin adalah Resort yang paling dekat dengan Tajrish… dan terdiri daripada 7 stesen dimana stesen yang paling atas mempunyai Ski Resort yang sentiasa ada salji.

Pergunungan Utara Tehran di lihat dari Tajrish

Pergunungan Diliputi Salji Utara Tehran di lihat dari Tajrish

Keluar sahaja dari Tajrish Metro Station… cuaca cerah dengan matahari bersinar sedikit tetapi suhu masih menurun sehingga minus degree celcius…terdapat beberapa tempat diliputi salji.. dan saya difahamkan salji turun pada malam tadi.  Stesen Metro Tajrish betul-betul berada di sebelah Tajrish Bazaar dan juga Tajrish Square.  Saya mengambil kesempatan menyelusuri Bazaar yang sangat menarik… dimana bazaar tradisional bersambung dengan bazaar moden di bawah satu bumbung.

Salji di Sekitar Valenjak & Tajrish

Salji di Sekitar Valenjak & Tajrish

Saya meneruskan perjalanan menuju ke Valenjak untuk ke Tochal Mount menggunakan teksi yang terdapat di sekitar Bazaar dengan tambang T20 (200,000 riyal).  Jarak dari Tajrish Square ke Valenjak hanya kira-kira 4km menaiki bukit tetapi pemandu teksi yang peramah akan memberhentikan teksi sekiranya ada tempat menarik untuk mengambil gambar.  Semakin menaiki dan mendaki bukit, liputan salji semakin tebal meliputi di tepi-tepi jalan dan juga di atas pokok… dan terdapat juga salji nipis yang sedang turun apabila matahari tidak kelihatan disebalik awan dan kabus.

Tochal Telecabin

Tochal Telecabin

Teksi berhenti di Valenjak dan pintu gerbang Tochal Telecabin sahaja… kemudian saya perlu naik lagi ke Stesen Tochal Telecabin yang terletak lebih kurang 2km ke atas bukit menggunakan perkhidmatan kereta buggy dengan bayaran T1 (10 riyal).  Di sini salji semakin tebal dan rancangan awal hendak ke Stesen yang lebih tinggi terpaksa dibatalkan kerana masalah cuaca buruk… dan rasaya tidak perlu kerana salji telah memenuhi setiap ruang di Tochal telecabin ini. Jadi, saya hanya menghabiskan masa di Stesen Tochal Telecabin ini sambil minum kopi panas… dan menikmati suasana salji di sini.

Saya berada di Tochal Telecabin sekitar 1 ke 2 jam… kemudian saya turun kembali ke pintu gerbang Tochal Resort menggunakan kereta buggy dengan bayaran T1 juga.  Kemudian saya menyusuri turun dengan berjalan kaki ke Valenjak dan kemudian terus perlahan-lahan berjalan menyelusuri jalan-jalan yang diliputi salji menuju ke Tajrish Square.  Di sepanjang jalan saya akan singgah minum sambil memanaskan badan di kedai-kedai menjual kopi panas dan juga roti segar… membuatkan perjalanan tidak terasa penat walaupun menjangkau 4km.

Coffee Shop di Tochal Telecabin

Coffee Shop di Tochal Telecabin

Hari pertama di Tajrish saya akhiri dengan perancangan untuk ke sini lagi sekiranya ada kesempatan lagi. Selang sehari… saya dimaklumkan bahawa salji turun lagi di Tajrish… dan tanpa berlengah saya terus ke Tajrish menaiki Metro train. Keluar sahaja dari stesen metro Tajrish… kelihatan salji turun dengan lebat sekali… dan pengalaman turunnya salji lebat di Tehran pada hari ini memang tidak akan saya lupakan kerana salji di Tehran berlaku dalam beberapa hari sahaja sepanjang tahun dan tidak boleh diramal.

Imamzadeh Saleh Shrine yang Terletak di Belakang Tajrish Bazaar

Imamzadeh Saleh Shrine yang Terletak di Belakang Tajrish Bazaar