Part 5: Catatan Perjalanan Umrah Mekah Al Mukarramah

Setelah beberapa hari di Madinah… destinasi kami seterusnya adalah Mekah Al haram untuk menunaikan ibadah umrah.  Kami check-out pada jam 8.00 pagi dengan siap berpakaian ihram kerana bas SAPTCO yang telah kami tempah secara online (tambang berharga SAR65) akan bergerak tepat pada pukul 9 pagi.  Kereta sewa yang mudah didapati di sekitar hotel membawa kami ke stesen bas SAPTCO dengan tambang SAR20.

Di sekitar stesen bas ramai juga pemandu kereta sewa dan teksi yang menawarkan perkhidmatan perjalanan ke Mekah dengan tambang SAR500 untuk sebuah kereta.  Masuk sahaja ke ruangan menunggu stesen bas, kami diberikan tag untuk dilekatkan di beg setelah kami menunjukkan tiket yang telah kami beli sebelum ini.  Saya perhatikan di dalam bas, ada sebahagian penumpang yang berpakaian ihram manakala sebahagian lagi berpakaian biasa sahaja.  Kami dimaklumkan bahawa semua bas SAPTCO yang menuju ke Mekah mesti berhenti di Miqat Bir Ali sebagai sebahagian daripada peraturan perjalanannya.

Kawasan Masjid sekitar Miqat Bir Ali
Kawasan Masjid sekitar Miqat Bir Ali

Pemandu bas dan kalendan bas SAPTCO yang kami naiki adalah berketurunan Indonesia… jadi amat mudah bagi kami bertanyakan tentang apa-apa maklumat yang kami perlukan tentang perjalanan ini.   Perjalanan dari Stesen Bas SAPTCO Madinah ke Masjid di Miqat Bir Ali hanya mengambil masa selama lebih kurang satu jam sahaja.  Sampai sahaja di sana, kami terus memasuki masjid dan melakukan solat sunat serta berniat ihram dan mengerjakan umrah.  Bas akan berhenti di situ lebih kurang 30 minit… dan disekitar masjid juga banyak gerai yang menjual barangan keperluan ihram dan umrah.  Apabila naik kembali ke dalam bas, saya dapati semua penumpang lelaki warga Afrika yang sebelum ini berpakaian biasa telah menukar kepada pakaian ihram di sini.

Sepanjang perjalanan ke Mekah yang mengambil masa lebih kurang enam jam, kami diiringi dengan alunan ucapan Tabliah secara beramai-ramai yang diketuai oleh jemaah Afrika.  Di pertengahan perjalanan semasa masuk waktu Zohor, bas berhenti di RnR untuk menunaikan solat Jamak & Qasar serta mengisi perut sekadarnya.  Kami sampai di Stesen bas SAPTCO Mekah dalam sekitar pukul 3.00 petang.

Stesen Bas SAPTCO Mekah
Stesen Bas SAPTCO Mekah

Turun sahaja dari bas… telah ramai pemandu teksi yang menerpa menawarkan perkhidmatan ke hotel penginapan.  Tanpa berlengah, saya terus menerima pelawaan seorang pemandu teksi untuk menghantar kami ke Hotel Al Battal yang terletak di kawasan Bukit Ajyad.  Harga yang dipersetujui adalah SAR40 yang sepatutnya hanya SAR20 sahaja… kerana malas hendak tawar-menawar kepada harga yang lebih rendah dan tidak mahu berlengah lebih lama kerana dalam berpakaian ihram.

Kawasan Bukit Ajyad menuju ke Hotel Al Battal
Kawasan Bukit Ajyad menuju ke Hotel Al Battal

Kami menginap di Hotel Al Battal yang terletak di kawasan Bukit Ajyad dan berada di sebelah belakang Hotel Pullman Zamzam (jam besar).  Sampai sahaja di hotel, kami terus check-in dan memasukkan semua beg ke dalam bilik… seterusnya terus menuju ke Masjidil Al Haram untuk menunaikan tawaf di baitullah.

.
.

Jarak dari hotel ke Masjidil haram dalam lingkungan 200 meter dan pada masa itu azan asar baru berkumandang.  Oleh kerana kami telah bersolat jamak & qasar sebelum ini… jadi kami terus menuju ke Kaabah untuk menunaikan ibadah tawaf umrah.

.
.

Kami selesai mengerjakan tawaf dalam masa hampir satu jam… jemaah pada petang ini agak ramai.. kemungkinan sebab ramai jemaah yang baru sampai ke Mekah dan terus membuat ibadah tawaf.  Selesai tawaf umrah… kami meneruskan rukun umrah iaitu Sa’ie yang memakan masa hampir satu jam juga.  kami selesai bertahalul (tamat umrah dan bebas daripada ihram) betul-betul sebelum azan maghrib berkumandang.  Seterusnya saya mengambil wuduk di tempat air minuman zamzam yang disediakan di laluan Sa’ie di Bukit safa & Marwah… dan mengerjakan solat maghrib di kawasan sekitar situ juga.

Selesai mengerjakan umrah, saya rasa badan tidak berapa sedap dan tanda-tanda batuk dan demam mula terasa.  Kaki pula terasa lenguh-lenguh dan tapak kaki sedikit pecah-pecah dan sedikit bengkak.  kami mengambil keputusan untuk berjalan pulang ke hotel penginapan.  Sampai sahaja di hotel, saya terus membersihkan diri dan menukar pakaian ihram kepada pakaian biasa… telan panadol dan vitamin C dan kemudian berehat.  Pada malam itu, saya tak pergi berjemaah solat isyak di Masijidil Haram kerana demam…

Kami berada di Mekah beberapa hari dan kebanyakan aktiviti harian adalah tertumpu di Masjidil Haram… mengerjakan tawaf sunat… bersolat jemaah… beriktikaf di masjid dan sebagainya.  Hasrat untuk mengerjakan umrah untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya tidak dapat diteruskan kerana keadaan badan terlalu lemah kerana demam dan batuk.

Perkarangan ke pintu masuk Masjidil Haram bertentangan dengan Zamzam Tower
Perkarangan ke pintu masuk Masjidil Haram bertentangan dengan Zamzam Tower

Namun, sekiranya kita ingin mengerjakan umrah dari Mekah… pertamanya kita perlu berpakaian ihram… seterusnya pergi ke tanah halal (Tanna’im) yang jaraknya tidak berapa jauh daripada Masjidil Haram.  Untuk ke Tanna’im, kita boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan tambang sekitar SAR20 hingga SAR50 untuk satu perjalanan.  Cara yang lebih murah ialah dengan menaiki bas awam SAPTCO yang akan menunggu jemaah di kawasan jalan sebelah Hotel Dar Al Tauhid yang terletak di berhadapan dengan pintu utama Masjidil Haram (King Abdul Aziz Gate).  Tambang bas adalah SAR2 untuk pergi dan SAR2 untu kembali ke Masjidil Haram.  Prosesnya adalah sama iaitu, kita perlu berniat ihram & umrah di Masjid di Tann’im dan melaksanakan rukun-rukun umrah sehingga selesai.

Kawasan shopping di sekitar bangunan Zamzam Tower
Kawasan shopping di sekitar bangunan Zamzam Tower

Semasa menunggu waktu diantara solat jemaah seterusnya di Masjidil Haram… biasanya kami akan berjalan-jalan di bangunan Zamzam Clock Tower dan sekitarnya yang penuh dengan shopping complex dan juga foodcourt menjual pelbagai juadah.  Harga makanan di sekitar shopping complex agak mahal… nasi biryani ayam berharga sekitar SAR20 ke SAR30… jadi selalunya kami akan singgah membeli makanan di kedai makan pakistan berdekatan dengan hotel penginapan kami dengan nasi biryani ayam hanya berharga SAR15 sahaja.

Pada hari terakhir di Mekah… setelah mengemas beg dan check out daripada hotel (beg kami tumpang letak di hotel yang sama), kami menuju ke Masjidil Haram untuk melaksanakan Tawaf Wada’ (Selamat tinggal) yang wajib dikerjakan oleh semua jemaah umrah yang ingin meninggalkan Mekah.  Selesai Tawaf Wada’… kami terus menaiki teksi menuju ke Stesen Bas SAPTCO Mekah dengan tambang SAR20 sahaja  (teksi dipanggil oleh staf hotel).  Sampai di Stesen Bas SAPTCO Mekah, kami membeli tiket bas secara walk in sahaja destinasi ke Jeddah dengan harga sebanyak SAR15 sahaja untuk seorang.  Perjalanan ke Jeddah hanya mengambil masa dalam dua jam sahaja.

Tiket Bas SAPTCO Mekah to Jeddah
Tiket Bas SAPTCO Mekah to Jeddah

Sampai sahaja di Stesen Bas SAPTCO Jeddah, kami terus berjalan kaki dan mengheret beg menuju ke Hotel Al Janoub yang kami duduki sebelum ini.  Pada malam itu, kami menghabiskan masa menyelusuri jalan-jalan sekitar Balad dan membeli buah kurma dan sebagainya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Keesokan harinya, kami bergerak menuju ke North Terminal King Abdul Aziz Jeddah Airport dengan menaiki teksi dengan tambang SAR100 dengan tempoh masa perjalanan memakan masa hampir satu jam.  Sampai di perkarangan lapangan terbang… kami membeli dua botol air zamzam (5 liter setiap satu) dan berharga SAR9.80 setiap satu.  Kita perlu menunjukkan pasport untuk membeli air zamzam dimana satu pasport hanya dibenarkan untuk membeli satu botol air zamzam sahaja.

Apa yang dapat saya simpulkan berkenaan pengalaman mengerjakan umrah secara perjalanan persendirian ini adalah mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.  Kelebihan pertama adalah dari segi fleksibiliti perjalanan adalah lebih memuaskan hati iaitu kita tidak terikat kepada jadual padat jemaah sekiranya mengerjakan umrah melalui Travel Agent.  Kos keseluruhan juga boleh dijimatkan sehingga 20 peratus lebih rendah.

Namun, terdapat beberapa kelemahan sekiranya perjalanan secara persendirian iaitu kebiasaanya jemaah umrah akan mudah terkena demam dan batuk apabila sampai di Mekah mungkin kerana faktor cuaca atau percampuran dengan pelbagai jemaah dari pelbagai bangsa dan negara menyebabkan virus mudah tersebar. Apabila kita mengalami sakit dan demam… adalah lebih mudah sekiranya kita menyertai jemaah travel Agent yang mana segala makan, ubatan dan juga pengangkutan telah disediakan.

Walaupun kos perjalanan umrah secara persendirian agak rendah… adalah perlu juga membawa wang tambahan untuk waktu kecemasan seperti kos membayar dam (sekiranya dikenakan dam) dan juga kos rawatan sekiranya sakit.  Insyaallah saya akan mengunjungi Mekah dan Madinah pada suatu masa nanti lagi… dan perjalanan umrah ini pastinya bukan yang terakhir.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s