Menjejaki Masyarakat Melayu Pattani

WhatsApp Image 2018-08-21 at 8.22.27 PM

Catatan perjalanan pada kali adalah perjalanan saya dan isteri ke Wilayah Pattani, selatan Thailand.  Kami memasuki Thailand melalui laluan Rantau Panjang, Kelantan.  Pada mulanya kami merancang untuk menjelajah selatan thailand menggunakan kereta… tetapi tidak dapat diteruskan kerana masalah imigresen.  Ini kerana, rekod pada sistem komputer imigresen Thailand mendapati kereta kami tidak menyerahkan borang kastam semasa kami memasuki Thailand melalui Check Point Wang Kelian pada tahun sebelumnya.  Pegawai imigresen tersebut juga menyatakan bahawa kami perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan borang kastam tersebut dan akan dikenakan denda sebanyak 2000 Baht sebelum kereta kami dibenarkan untuk memasuki Thailand lagi.

Jadi… sebagai alternatif, kami berpatah balik daripada kompleks imigresen dan meletakkan kereta (parking) di kawasan parking di Rantau Panjang… dan rancangannya adalah kami akan pergi ke Pattani menggunakan pengangkutan awam.

hongkonk-motorcycle-taxis
Motorsikal teksi (gambar sumber internet)

Kami mendapatkan khidmat motorsikal teksi yang banyak terdapat di sekitar kompleks imigresen Malaysia yang boleh dikenali dengan jaket khas yang dipakai mereka.  Kami membonceng motorsikal melalui imigresen Malaysia dan berhenti (tanpa turun daripada motorsikal) untuk pemeriksaan passport.  Kemudian terus ke Kompleks imigresen Thailand. Disini, kami turun daripada motorsikal (pemandu motorsikal akan menunggu kita sehingga selesai pemeriksaan imigresen)… seterusnya kami mengisi borang imigresen (berwarna putih) dengan bayaran RM1 dan kemudian terus pemeriksaan passport.  Proses ini amat mudah dan mengambil masa hanya kira-kira lima minit sahaja.  Seterusnya kami membonceng motorsikal kembali dan meneruskan perjalanan ke Kompleks Stesen Bas yang terletak di Su-ngai Kolok dengan jarak keseluruhan leibih kurang 3 km.  Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM15 seorang.

WhatsApp Image 2018-08-25 at 12.09.21 PM
Van Penumpang ke Pattani

Di sini, kami membeli tiket van ke Pattani (disebut “Ttani” oleh orang tempatan) dengan harga tambang sebanyak 150 Baht (disebut 150 “khok”) sehala.  Perjalanan hanya akan bermula sekiranya semua penumpang telah memenuhi van.  Keadaan van amat selesa dan berhawa dingin.  Perjalanan selama dua jam ini akan melalui pekan Tak Bai dan juga melintasi pekan Narathiwat (disebut “Naro” oleh penduduk tempatan).  Sepanjang perjalanan, terdapat banyak sekatan jalan bagi tujuan pemeriksaan keselamatan yang dilakukan oleh Tentera Thailand.  Alhamdulillah, van yang kami naiki tidak diperiksa langsung.  Mengikut maklumat yang saya terima… pemeriksaan kebanyakannya dilakukan pada waktu malam dan kereta persendirian terutamanya kereta luar termasuk kereta bernombor plet pendaftaran daripada Malaysia.

Van akan menurunkan penumpang di sekitar Pattani mengikut permintaan penumpang.  Kami meminta pemandu van menurunkankan kami di pusat bandar berdekatan dengan hotel.  Turun sahaja daripada van, kami berjalan menyusuri bandar Pattani untuk mencari hotel yang bersesuaian… namun begitu, beberapa kali kami ditegur oleh polis yang bertanyakan arah tujuan kami.  Daripada pemerhatian saya, bandar Pattani (yang agak bergolak) jarang menerima kunjungan pelancong luar dan orang luar mudah mendapat perhatian polis di sana.

12whatsapp-image-2018-08-25-at-12-09-19-pm.jpeg

Kami menemui Hotel Palace yang berada di pusat bandar.  Hotel kategori hotel bajet ini berharga 350 khok (lebih kurang RM45) untuk bilik standard berhawa dingin dan 500 khok bagi bilik VIP.  Kondisi hotel ini agak lama dengan perabot lama yang sangat asas.  Maklumat yang kami ada adalah hotel yang berada di pusat bandar hanya ada dua iaitu Hotel Palace dan Hotel Santisuuk yang juga berkategori hotel bajet.  Hotel bertaraf 3 bintang berada agak jauh daripada pusat bandar dan sesuai sekiranya kita membawa kenderaan sendiri.

Setelah check in hotel dan bersolat… kami menukar pakaian dengan pakaian biasa bagi penduduk islam Pattani untuk berjalan-jalan sekitar bandar.  Dengan berpakaian seperti penduduk tempatan… dan tanpa menggalas beg, kami dapati tidak lagi menjadi perhatian polis Thailand.  Kami menyusuri jalan-jalan di sekitar pekan Pattani pada petang ahad… keadaan trafik agak lengang sehingga kami menemui kawasan pasar malam yang dibuka sekitar 5 petang sehingga malam.

p_20180819_191348.jpg
Pasar Malam
p_20180819_191144.jpg
Pasar Malam

Tapak pasar malam agak besar dan meriah dengan jualan pakaian dan juga makanan tempatan yang semestinya harganya rata-rata agak murah.  Kami tidak membeli apa-apa pakaian di sini kerana memikirkan kesukaran untuk membawa balik ke Malaysia terutama apabila menaiki motorsikal nanti di Su-ngai Kolok.   Namun, makanan “street food” yang dijual disini yang semestinya masakan melayu Pattani rata-rata amat sedap dan murah.  Laksa siam yang dimakan bersama ulam-ulaman… nasi kerabu siam… kuih muih dan sebagainya sememangnya amat menyelerakan.  Kami berjalan pulang ke hotel dengan perut kenyang sekitar jam 9 malam.  Sambil itu, kami sempat singgah di kedai 24 jam 7 Eleven untuk membeli sabun mandi serta air minuman untuk bekalan di hotel penginapan pada malam nanti.

p_20180819_173148.jpg
Pasar Basah Pattani

Pada keesokan harinya, kami menyusuri jalan-jalan sekitar bandar Pattani lagi sehingga menemui kawasan pasar basah.  Di pasar ini terdapat pelbagai jualan seperti ikan, sayur, daging, buah-buahan dan makanan.  Tetapi di sini, kami dapati jualan barang halal dan juga barang tidak halal seperti babi dijual bersebelahan sahaja.  Begitu juga jualan makanan halal dan tidak halal berada ditempat yang sama.  Cuma yang membezakan makanan halal ialah penjualnya dikenali dengan memakai tudung yang semestinya beragama islam.  Kami juga dapati ikan  dan sumber makanan laut lain seperti udang, sotong dan sebagainya amat segar dan saiznya besar-besar berkemungkinan kerana wilayah Pattani juga adalah merupakan kampung nelayan.  Di sini kami sempat singgah di sebuah kedai makan untuk makan pagi.  Hidangan yang kami pilih adalah nasi berlauk dengan hidangan ikan gulai yang semestinya sangat segar.  Kuih muih juga amat mudah didapati di sini dan semstinya murah dan lazat.

P_20180819_134750
Stesen Bas Pattani

Perjalanan kali ini hanya tertumpu di pusat bandar Pattani dan aktiviti utama kami hanya makan… hahaha.. Namun,  banyak lagi tempat yang boleh dilawati sekiranya kami berkesempatan datang lagi ke sini dengan menaiki kenderaan sendiri.  Masjid bersejarah Krisek, masjid besar Pattani, pantai Pattani masih belum kami jelajahi.  Juga kami merancang untuk ke daerah Yala dan juga daerah Songkhla (disebut “Seghoro” bagi penduduk tempatan) yang hanya mengambil masa satu jam sahaja memandu dari Pattani. Penduduk melayu islam Pattani yang budayanya, makanannya dan bahasa percakapannya yang tidak jauh berbeza dengan penduduk melayu kelantan  memang memberi kesan ke dalam jiwa kami… dan semestinya kami akan ke sini lagi sekiranya ada peluang dan diizinkan Allah Swt.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s