Part 5: Catatan Perjalanan Umrah Mekah Al Mukarramah

Setelah beberapa hari di Madinah… destinasi kami seterusnya adalah Mekah Al haram untuk menunaikan ibadah umrah.  Kami check-out pada jam 8.00 pagi dengan siap berpakaian ihram kerana bas SAPTCO yang telah kami tempah secara online (tambang berharga SAR65) akan bergerak tepat pada pukul 9 pagi.  Kereta sewa yang mudah didapati di sekitar hotel membawa kami ke stesen bas SAPTCO dengan tambang SAR20.

Di sekitar stesen bas ramai juga pemandu kereta sewa dan teksi yang menawarkan perkhidmatan perjalanan ke Mekah dengan tambang SAR500 untuk sebuah kereta.  Masuk sahaja ke ruangan menunggu stesen bas, kami diberikan tag untuk dilekatkan di beg setelah kami menunjukkan tiket yang telah kami beli sebelum ini.  Saya perhatikan di dalam bas, ada sebahagian penumpang yang berpakaian ihram manakala sebahagian lagi berpakaian biasa sahaja.  Kami dimaklumkan bahawa semua bas SAPTCO yang menuju ke Mekah mesti berhenti di Miqat Bir Ali sebagai sebahagian daripada peraturan perjalanannya.

Kawasan Masjid sekitar Miqat Bir Ali
Kawasan Masjid sekitar Miqat Bir Ali

Pemandu bas dan kalendan bas SAPTCO yang kami naiki adalah berketurunan Indonesia… jadi amat mudah bagi kami bertanyakan tentang apa-apa maklumat yang kami perlukan tentang perjalanan ini.   Perjalanan dari Stesen Bas SAPTCO Madinah ke Masjid di Miqat Bir Ali hanya mengambil masa selama lebih kurang satu jam sahaja.  Sampai sahaja di sana, kami terus memasuki masjid dan melakukan solat sunat serta berniat ihram dan mengerjakan umrah.  Bas akan berhenti di situ lebih kurang 30 minit… dan disekitar masjid juga banyak gerai yang menjual barangan keperluan ihram dan umrah.  Apabila naik kembali ke dalam bas, saya dapati semua penumpang lelaki warga Afrika yang sebelum ini berpakaian biasa telah menukar kepada pakaian ihram di sini.

Sepanjang perjalanan ke Mekah yang mengambil masa lebih kurang enam jam, kami diiringi dengan alunan ucapan Tabliah secara beramai-ramai yang diketuai oleh jemaah Afrika.  Di pertengahan perjalanan semasa masuk waktu Zohor, bas berhenti di RnR untuk menunaikan solat Jamak & Qasar serta mengisi perut sekadarnya.  Kami sampai di Stesen bas SAPTCO Mekah dalam sekitar pukul 3.00 petang.

Stesen Bas SAPTCO Mekah
Stesen Bas SAPTCO Mekah

Turun sahaja dari bas… telah ramai pemandu teksi yang menerpa menawarkan perkhidmatan ke hotel penginapan.  Tanpa berlengah, saya terus menerima pelawaan seorang pemandu teksi untuk menghantar kami ke Hotel Al Battal yang terletak di kawasan Bukit Ajyad.  Harga yang dipersetujui adalah SAR40 yang sepatutnya hanya SAR20 sahaja… kerana malas hendak tawar-menawar kepada harga yang lebih rendah dan tidak mahu berlengah lebih lama kerana dalam berpakaian ihram.

Kawasan Bukit Ajyad menuju ke Hotel Al Battal
Kawasan Bukit Ajyad menuju ke Hotel Al Battal

Kami menginap di Hotel Al Battal yang terletak di kawasan Bukit Ajyad dan berada di sebelah belakang Hotel Pullman Zamzam (jam besar).  Sampai sahaja di hotel, kami terus check-in dan memasukkan semua beg ke dalam bilik… seterusnya terus menuju ke Masjidil Al Haram untuk menunaikan tawaf di baitullah.

.
.

Jarak dari hotel ke Masjidil haram dalam lingkungan 200 meter dan pada masa itu azan asar baru berkumandang.  Oleh kerana kami telah bersolat jamak & qasar sebelum ini… jadi kami terus menuju ke Kaabah untuk menunaikan ibadah tawaf umrah.

.
.

Kami selesai mengerjakan tawaf dalam masa hampir satu jam… jemaah pada petang ini agak ramai.. kemungkinan sebab ramai jemaah yang baru sampai ke Mekah dan terus membuat ibadah tawaf.  Selesai tawaf umrah… kami meneruskan rukun umrah iaitu Sa’ie yang memakan masa hampir satu jam juga.  kami selesai bertahalul (tamat umrah dan bebas daripada ihram) betul-betul sebelum azan maghrib berkumandang.  Seterusnya saya mengambil wuduk di tempat air minuman zamzam yang disediakan di laluan Sa’ie di Bukit safa & Marwah… dan mengerjakan solat maghrib di kawasan sekitar situ juga.

Selesai mengerjakan umrah, saya rasa badan tidak berapa sedap dan tanda-tanda batuk dan demam mula terasa.  Kaki pula terasa lenguh-lenguh dan tapak kaki sedikit pecah-pecah dan sedikit bengkak.  kami mengambil keputusan untuk berjalan pulang ke hotel penginapan.  Sampai sahaja di hotel, saya terus membersihkan diri dan menukar pakaian ihram kepada pakaian biasa… telan panadol dan vitamin C dan kemudian berehat.  Pada malam itu, saya tak pergi berjemaah solat isyak di Masijidil Haram kerana demam…

Kami berada di Mekah beberapa hari dan kebanyakan aktiviti harian adalah tertumpu di Masjidil Haram… mengerjakan tawaf sunat… bersolat jemaah… beriktikaf di masjid dan sebagainya.  Hasrat untuk mengerjakan umrah untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya tidak dapat diteruskan kerana keadaan badan terlalu lemah kerana demam dan batuk.

Perkarangan ke pintu masuk Masjidil Haram bertentangan dengan Zamzam Tower
Perkarangan ke pintu masuk Masjidil Haram bertentangan dengan Zamzam Tower

Namun, sekiranya kita ingin mengerjakan umrah dari Mekah… pertamanya kita perlu berpakaian ihram… seterusnya pergi ke tanah halal (Tanna’im) yang jaraknya tidak berapa jauh daripada Masjidil Haram.  Untuk ke Tanna’im, kita boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan tambang sekitar SAR20 hingga SAR50 untuk satu perjalanan.  Cara yang lebih murah ialah dengan menaiki bas awam SAPTCO yang akan menunggu jemaah di kawasan jalan sebelah Hotel Dar Al Tauhid yang terletak di berhadapan dengan pintu utama Masjidil Haram (King Abdul Aziz Gate).  Tambang bas adalah SAR2 untuk pergi dan SAR2 untu kembali ke Masjidil Haram.  Prosesnya adalah sama iaitu, kita perlu berniat ihram & umrah di Masjid di Tann’im dan melaksanakan rukun-rukun umrah sehingga selesai.

Kawasan shopping di sekitar bangunan Zamzam Tower
Kawasan shopping di sekitar bangunan Zamzam Tower

Semasa menunggu waktu diantara solat jemaah seterusnya di Masjidil Haram… biasanya kami akan berjalan-jalan di bangunan Zamzam Clock Tower dan sekitarnya yang penuh dengan shopping complex dan juga foodcourt menjual pelbagai juadah.  Harga makanan di sekitar shopping complex agak mahal… nasi biryani ayam berharga sekitar SAR20 ke SAR30… jadi selalunya kami akan singgah membeli makanan di kedai makan pakistan berdekatan dengan hotel penginapan kami dengan nasi biryani ayam hanya berharga SAR15 sahaja.

Pada hari terakhir di Mekah… setelah mengemas beg dan check out daripada hotel (beg kami tumpang letak di hotel yang sama), kami menuju ke Masjidil Haram untuk melaksanakan Tawaf Wada’ (Selamat tinggal) yang wajib dikerjakan oleh semua jemaah umrah yang ingin meninggalkan Mekah.  Selesai Tawaf Wada’… kami terus menaiki teksi menuju ke Stesen Bas SAPTCO Mekah dengan tambang SAR20 sahaja  (teksi dipanggil oleh staf hotel).  Sampai di Stesen Bas SAPTCO Mekah, kami membeli tiket bas secara walk in sahaja destinasi ke Jeddah dengan harga sebanyak SAR15 sahaja untuk seorang.  Perjalanan ke Jeddah hanya mengambil masa dalam dua jam sahaja.

Tiket Bas SAPTCO Mekah to Jeddah
Tiket Bas SAPTCO Mekah to Jeddah

Sampai sahaja di Stesen Bas SAPTCO Jeddah, kami terus berjalan kaki dan mengheret beg menuju ke Hotel Al Janoub yang kami duduki sebelum ini.  Pada malam itu, kami menghabiskan masa menyelusuri jalan-jalan sekitar Balad dan membeli buah kurma dan sebagainya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Keesokan harinya, kami bergerak menuju ke North Terminal King Abdul Aziz Jeddah Airport dengan menaiki teksi dengan tambang SAR100 dengan tempoh masa perjalanan memakan masa hampir satu jam.  Sampai di perkarangan lapangan terbang… kami membeli dua botol air zamzam (5 liter setiap satu) dan berharga SAR9.80 setiap satu.  Kita perlu menunjukkan pasport untuk membeli air zamzam dimana satu pasport hanya dibenarkan untuk membeli satu botol air zamzam sahaja.

Apa yang dapat saya simpulkan berkenaan pengalaman mengerjakan umrah secara perjalanan persendirian ini adalah mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.  Kelebihan pertama adalah dari segi fleksibiliti perjalanan adalah lebih memuaskan hati iaitu kita tidak terikat kepada jadual padat jemaah sekiranya mengerjakan umrah melalui Travel Agent.  Kos keseluruhan juga boleh dijimatkan sehingga 20 peratus lebih rendah.

Namun, terdapat beberapa kelemahan sekiranya perjalanan secara persendirian iaitu kebiasaanya jemaah umrah akan mudah terkena demam dan batuk apabila sampai di Mekah mungkin kerana faktor cuaca atau percampuran dengan pelbagai jemaah dari pelbagai bangsa dan negara menyebabkan virus mudah tersebar. Apabila kita mengalami sakit dan demam… adalah lebih mudah sekiranya kita menyertai jemaah travel Agent yang mana segala makan, ubatan dan juga pengangkutan telah disediakan.

Walaupun kos perjalanan umrah secara persendirian agak rendah… adalah perlu juga membawa wang tambahan untuk waktu kecemasan seperti kos membayar dam (sekiranya dikenakan dam) dan juga kos rawatan sekiranya sakit.  Insyaallah saya akan mengunjungi Mekah dan Madinah pada suatu masa nanti lagi… dan perjalanan umrah ini pastinya bukan yang terakhir.

Advertisements

Part 4: Catatan Perjalanan Umrah di Madinah

Madinah Al Munawwarah
Madinah Al Munawwarah

Kami sampai di Madinah dengan menaiki bas SAPTCO standard daripada Jeddah kira-kira pukul 3 petang.  Stesen bas SAPTCO di Madinah biasa-biasa sahaja… keluar sahaja daripada kawasan stesen bas, sudah banyak pemandu teksi dan tidak kurang juga kereta sewa menawarkan perkhidmatan mereka.  Kami dihampiri seorang pemandu kereta sewa yang menawarkan SAR3o untuk menghantar kami ke Hotel Amjad Al Gharra madinah, yang jaraknya hanya lebih kurang 3 km sahaja.

.
.

Hotel Amjad Al Gharra ni terletak di pintu masuk Gate No 7 Masjid Nabawi dan jaraknya hanya lebih kurang 200 meter sahaja.  Dari Gate no 7… sangat dekat dengan kubah hijau iaitu tempat terletaknya bahagian hadapan masjid (tempat imam) dan juga terletaknya Rhaudhah (taman-mana syurga) serta makam Nabi Muhammad SAW.  Cuma… ruangan tempat sembahyang wanita agak jauh iaitu melalui King Fahd Gate.

Mengikut pengamatan saya, jemaah Malaysia dan Indonesia kebanyakannya menginap di hotel kawasan Gate no 25 iaitu di King Fahd Gate.  Foodcourt dan kedai makanan Indonesia juga banyak terdapat di kawasan gate no 25… dan juga peniaga-peniaga kedai pakaian kawasan itu juga rata-rata boleh bertutur dalam bahasa Indonesia.

Foodcourt di Gate No 25 Masjid Nabawi
Foodcourt di Gate No 25 Masjid Nabawi Madinah

Di sini, selalunya saya akan memesan satu bungkus nasi biryani daging atau ayam yang berharga SAR20… dan berkongsi makan dengan isteri.  Di kawasan tempat penginapan kami di Gate No 7, kebanyakannya dihuni oleh jemaah dari Pakistan, Afganistan dan negara-negara arab.  Di sini pula, terdapat banyak kedai makan Pakistan, arab dan kedai makanan Turki yang menjual kebab, syawarma, sandwich dsb.

Kedai Makanan Pakistan di Kawasan Gate No 7
Kedai Makanan Pakistan di Kawasan Gate No 7

Aktiviti utama apabila di madinah ni kebanyakannya bertumpu di Masjid Nabawi… bersolat jemaah, beriktikaf di masjid, berdoa di Rhaudhah yang juga merupakan taman-taman syurga.  Selain itu, aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan sebagainya.

Masjid Nabawi Madinah
Masjid Nabawi Madinah

Cara yang paling mudah untuk melakukan ziarah ini ialah dengan teksi atau kereta sewa… tetapi ada cara yang lebih jimat lagi iaitu dengan menaiki van sewa.  Perkhidmatan ziarah ini biasanya disediakan di sebelah pagi (selepas habis solat suboh)… keluar sahaja daripada pintu gate masjid nabawi… kita akan dapati ada beberapa van sedia menunggu dengan pemandunya berteriak “ziyarah… ziyarah…”.  Biasanya mereka akan menunggu sehingga van penuh barulah mereka memulakan perjalanan…

Perkhidmatan van untuk ziarah
Perkhidmatan van untuk ziarah

Part 3: Catatan Perjalanan Umrah KL ke Jeddah

.
.

Saya dan isteri memulakan perjalanan umrah menggunakan perkhidmatan flight AirAsiaX dari KLIA2 bertolak pada jam 5.00 pagi.  Di dalam flight, boleh dikatakan hampir semua penumpang adalah jemaah umrah yang terdiri daripada warga Malaysia dan ada juga warga Indonesia… dan sebahagiannya telah lengkap berpakaian ihram… menandakan mereka akan terus mengerjakan umrah di Mekah apabila tiba sahaja di Jeddah.  Di dalam flight ada diumumkan masuk waktu solat suboh dan juga pengumuman apabila telah tiba di Miqat Qarnul Manazil untuk mengingatkan jemaah supaya melafazkan niat umrah dan mengenakan pakaian ihram dalam masa satu jam sebelum mendarat di lapangan terbang King Abdul Aziz Jeddah (Terminal Haji).

Untuk makluman, lapangan terbang di Jeddah terdiri daripada beberapa terminal yang berasingan iaitu South Terminal untuk menguruskan penerbangan komersial dan penerbangan domestik, Hajj Terminal bagi menguruskan jemaah haji dan umrah, North Terminal yang terletak bersebelahan dengan Hajj Terminal yang menguruskan penerbangan komersial serta penerbangan umrah tambahan serta beberapa lagi terminal lain termasuk VIP terminal dan Private Terminal.

Sampai sahaja di lapangan terbang Jeddah Terminal Haji, urusan imigresen adalah cekap dan tidak mengambil masa yang lama.  Keluar sahaja daripada ruang Arrival, kami telah ditunggu oleh rakan kami yang telah lama menetap di Jeddah membawa kami ke hotel penginapan di Balad Jeddah.  Perjalanan ke pusat bandar dengan menaiki kereta mengambil masa lebih kurang satu jam.  Setelah berbual panjang didalam kereta dan kemudian belanja kami makan di restoran D’Saji Felda Jeddah… kami pun dihantar ke Hotel Al Janoub (South Hotel) yang terletak di pusat bandar lama Al Balad, Jeddah.

Hotel Al Janoub kalau kalau dalam Booking.com dikenali sebagai Hotel South, masalahnya di papan tanda hotel ni takde pun tertulis South Hotel… kena translate kepada bahasa arab, baru nama dia Al janoub… hehe..  Harga bilik standard Hotel Al Janoub ni adalah SAR180 sahaja dan keadaan bilik serta perkhidmatan WIFI memang memuaskan.  Hotel ni terletak betul-betul di dalam kawasan Al Balad iaitu sebuah pusat bandar lama Jeddah.  Kawasan ni memang happening pada sebelah malam dengan jualan ala-ala pasar malamnya dan makanan halal tidak menjadi masalah disini dengan menyediakan pelbagai pilihan.

Hotel Al-Janoub Jeddah
Hotel Al-Janoub Jeddah

Keesokkan harinya kami berjalan kaki menuju ke Stesen Bas SAPTCO Jeddah yang jaraknya hanya 200 meter sahaja dari hotel penginapan kami.  Sebenarnya kami telah membeli tiket secara online awal-awal lagi di dalam website SAPTCO.  Harga tiket daripada Jeddah ke Madinah adalah SAR65 bagi bas biasa… manakala untuk bas VIP berharga SAR130.

Kami bertolak daripada Jeddah pada pukul 9.00 pagi dan mengambil masa sekitar 6 jam termasuk berhenti rehat di RnR untuk makan dan solat.

Part 2: Perancangan Perjalanan Umrah

Sebelum ini kita telah membincangkan berkaitan permohonan visa umrah… manakala pada bahagian ini saya akan membicarakan berkaitan perancangan perjalanan mengerjakan umrah secara persendirian.

Kebiasaanya, jemaah umrah dari Malaysia akan mengerjakan umrah melalui dua kaedah perjalanan iaitu pertamanya, menaiki flight menuju ke Jeddah dan terus masuk ke Mekah untuk membuat umrah… kemudian setelah selesai umrah, mereka akan melakukan ziarah ke Madinah dan balik ke Malaysia melalui airport madinah ataupun kembali ke Jeddah menaiki bas sebelum pulang ke Malaysia menaiki kapalterbang.  Sekiranya kita menggunapakai kaedah ini, perlu difahami bahawa kita perlu memakai pakaian ihram daripada Malaysia sebelum bertolak di KLIA ataupun memakai pakaian ihram di dalam kapalterbang sebelum sampai ke Jeddah.  Niat ihram perlu dilafazkan di Miqat Qarmul Manazil iaitu satu jam sebelum mendarat di lapangan terbang Jeddah dan seterusnya kita terikat dengan 13 syarat-syarat ihram yang sekiranya dilanggar, perlu membayar dam.

Dari airport Jeddah ke Mekah… kita boleh menyewa teksi dengan tambang dalam sekitar SAR300 ke SAR500 terus menuju ke hotel di Mekah (agak mahal).  Cara yang murah sedikit adalah dengan menyewa teksi ke stesen bas SAPTCO di Balad Jeddah (SAR100)… dan kemudian menaiki bas menuju ke Mekah dengan tambang SAR15 sahaja manakala tambang teksi dari Stesen Bas SAPTCO Mekah ke hotel adalah sekitar SAR20 ke SAR50.  Masalahnya adalah… kaedah menaiki bas ini agak sukar dipraktikkan dalam keadaan kita berpakaian ihram serta terikat dengan syarat-syarat berihram.

Kaedah perjalanan kedua ini adalah lebih praktikal bagi perjalanan umrah persendirian… iaitu kita akan mendarat di Jeddah tanpa berniat ihram lagi, kemudian bermalam di Jeddah bagi menghilangkan penat… sebelum bertolak ke Madinah untuk ziarah dan seterusnya menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah melalui Miqat Bir Ali dan akhirnya berpatah balik ke Jeddah untuk perjalanan balik ke Malaysia.

Satu lagi kaedah perjalanan adalah kita menaiki flight menuju ke Madinah dahulu untuk melaksanakan ziarah Masjid Nabawi… kemudian menaiki bas SAPTCO (tambang dalam SAR65) menuju ke Mekah dengan berpakaian ihram untuk melaksanakan umrah melalui Miqat Bir Ali.  Apabila sampai di stesen bas SAPTCO Mekah… sewa teksi sekitar SAR20 ke SAR50 menuju ke hotel penginapan.  Seterusnya kita melaksanakan umrah di Mekah beberapa hari sebelum bergerak menaiki bas ke Stesen bas SAPTCO Jeddah dengan tambang sekitar SAR15.  Kita boleh bermalam di hotel sekitar Balad Jeddah sebelum meneruskan perjalanan ke Airport Jeddah (tambang teksi sekitar SAR100) untuk pulang ke Malaysia.

 

 

Part 1: Visa Umrah

Pada awal 2017 yang lalu, saya dan isteri berkesempatan mengerjakan umrah di tanah suci Mekah secara perjalanan persendirian tanpa melibatkan Travel Agent Umrah.   Beberapa perkara perlu difahami sekiranya kita ingin menguruskan sendiri perjalanan mengerjakan umrah terutamanya berkaitan hal visa umrah.

Pertamanya, visa untuk memasuki negara Arab Saudi terdiri darpada beberapa kategori iaitu visa umrah, visa haji, visa pekerja atau visa pelajar.  Visa umrah hanya boleh dipohon melalui Travel Agent Umrah yang dilantik oleh Kerajaan Arab Saudi sahaja dan tempoh masa yang dibenarkan adalah pada dua bulan selepas tamat musim haji iaitu sekitar bulan November (Rabiul awal) dan berakhir pada 1 syawal.  Pada bulan syawal sehingga Rabiul awal hanya dikeluarkan visa haji sahaja manakala visa umrah akan dibekukan.

Tempoh masa untuk visa umrah ialah selama 30 hari manakala pada bulan Ramadhan, visa umrah hanya diberikan selama 2 minggu sahaja.  Perjalanan di Arab Saudi menggunakan visa umrah juga terhad kepada Jeddah, Madinah dan Mekah sahaja… bermakna kita tidak boleh sewenang-wenangnya pergi ke tempat lain di Arab Saudi seperti Riyadh dan sebagainya menggunakan visa umrah.

Perkara yang agak sukar adalah untuk mendapatkan kepercayaan Travel Agent Umrah untuk memberikan kuota visa umrah mereka kepada kita.  Ini disebabkan apabila visa umrah kita dikeluarkan atas nama sesebuah Travel Agent Umrah… contohnya Andalusia Travel & Tours, sebenarnya perjalanan kita di Arab Saudi akan menggunakan nama Andalusia… iaitu sebagai contoh, sekiranya kita sengaja melanggar syarat visa umrah seperti tinggal lebih masa melebihi 30 hari di Arab Saudi, pihak Andalusia boleh dikenakan denda dan kemungkinan juga lesen menguruskan umrah boleh ditarik balik oleh Kementerian Haji Arab Saudi.

Biasanya… sekiranya kita menghubungi ustaz yang menguruskan visa mewakili Travel Agent mereka, ustaz tersebut selalunya meminta itinari kita termasuk tiket flight, hotel dan juga nama serta nombor telefon rakan kita yang menetap di Arab Saudi… atau sekiranya tiada rakan, nama serta nombor telefon Mutawwif (jurupandu) di Arab Saudi (cth. student yang belajar di Arab Saudi dsb.).  Perkara ini penting supaya apabila sesuatu berlaku kepada kita atau kita ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, biasanya mereka akan menghubungi Mutawwif/rakan di sana bagi mengesahkan perjalanan kita.

Sekiranya kita ingin mengerjakan umrah bersama isteri, langkah pertama adalah mendapatkan pengesahan mahram iaitu dengan membawa satu salinan sijil nikah ke Jabatan Agama Islam (MAIWP dsb.).  Setelah disahkan, kita perlu membawa salinan tersebut ke Wisma Putera (Kementerian Luar Negara) bagi mendapatkan pengesahan mahram serta paspot.  Setelah itu, barulah kita serahkan paspot, 2 keping gambar visa, salinan dokumen mahram yang telah disahkan oleh Jabatan Agama Islam dan Kementerian Luar Negara kepada ustaz Travel Agent tersebut.  Bayaran proses termasuk upah ustaz ialah sekitar RM400 seorang.  Seterusnya ustaz tersebut akan membawa dokumen kita berserta duit proses ke Kedutaan Arab Saudi untuk permohonan visa umrah dan mengambil masa dalam 3 hari bekerja sahaja.

visa9
Contoh Visa Umrah pada Paspot

Setelah kita mendapat semula paspot berserta visa daripada ustaz tersebut,  akan terdapat tarikh tempoh masa selama 30 hari kita mesti bertolak ke Arab Saudi.  Contohnya, tarikh visa yang diberikan adalah 1 Januari 2017 hingga 30 Januari 2017… kita boleh pergi ke Arab Saudi pada 30 Januari 2017… dan setelah sampai di sana, tempoh masa 30 hari yang boleh kita berada di Arab Saudi adalah 30 Januari 2017 sehingga 28 Februari 2017.  Sekiranya kita tidak dapat pergi ke Arab Saudi dalam tempoh masa yang diberikan, secara automatik visa kita tadi terbatal dan perlu dipohon semula.